dari lidah si Hadi

Friday, May 12, 2006

Kata-kata pembasah lidah...


Assalamualaikum.. seperti biasa, sebelum membuka kata adalah lebih enak jika aku memberi salam dahulu. Sudah agak lama aku tidak menghasilkan butir-butir penulisan. Apatah lagi untuk memaparkannya di dada-dada monitor online seperti ini. bukan kerana terputus idea atau kata-kata.. tetapi seperti manusia kota lain, aku sibuk dengan kelas-kelas dan kerja-kerja yang cukup melalaikan. Juga sebab utamanya adalah kerana rumah baruku tiada talian telefon lantas mengakibatkan terputus jua lah perhubungan komputer gagah kesayanganku bersama talian internetnya. Selama ini, jika aku mempunyai kata-kata terbuku atau idea yang perlu diluahkan.. aku hanya akan menaipnya di dalam telefon bimbitku. Akan tetapi akibat dari ruang yang terhad seperti iri hati dengan buah mulutku, maka penuhlah kapasiti telefonku itu. Akhirnya atas nasihat sahabat-sahabat dan juga kerana kerja malamku ini.. maka lahirlah sebuah blog sulung dari lidah si Hadi

Selama ini, jika aku ingin menulis di ruang maya seperti ini, aku lebih gemar untuk menulis dalam bahasa inggeris. Pada pendapatku, jika aku menulis dalam bahasa inggeris, maka hasil penulisanku dapatlah dibaca oleh insan-insan lain yang tidak faham bahasa melayu. Tetapi, kali ini aku memutuskan untuk menulis dalam bahasa Melayu.

Bukan atas dasar semangat bangsa, bukan atas dasar bahasa ibunda, bukan atas dasar perkauman, bukan atas dasar nasionalisma.... bukan.. aku menulis dalam bahasa Melayu adalah kerana aku merasakan bahasa melayu adalah manis, indah, berjiwa unik dan penuh dengan seni. Ini juga adalah kerana aku merasakan rakan-rakan yang sanggup membaca coretan aku ini faham benar dengan bahasa yang aku guna ini. Aku menulis pun istimewa khas untuk diriku sendiri dan sesiapa yang sudi membaca. Semuanya atas nama jiwa dan seni

Sebagai penamat kepada kata-kata pembasah lidah ini.. dengan penuh hormat aku berterima kasih kepada mereka yang sudi membaca. Izinkan aku mengundur diri dahulu. Maafkan aku jika ada terkurang adatnya. Wassalam..

-gambar~ antara gambar pertama ditangkap ketika membeli kamera 2 tahun yang lalu
(kawasan Jalan Kunci Air)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home