dari lidah si Hadi

Monday, May 29, 2006

Sajak - Pancing Undi



Dengan diringi sekalian para juak-juak,
Yang berhormat itu memasuki sebuah
perkampungan orang-orang asli.
Mereka menaiki jip pajero.
Segala kemudahan telah kamu perolehi,
air paip, api elektrik dan jalan bertar sudah diberi
"apa lagi yang kamu mahu?"
tanya yang berhormat yang tengah syok berkempen.
"kami mahu jip!" jawab tok batin
"kami mahu jip pajero, macam encik punya,"
sahut anak-anak buah tok batin. Beramai-ramai.
"kamu mahu jip? untuk apa?" tanya yang berhormat.
Panik dan hairan
"supaya kami senang membawa
barang-barang kami keluar dari hutan.
Kami pun senang untuk keluar mengundi nanti."
Jawab anak-anak buah tok batin beramai-ramai.
adapun yang berhormat itu,
yang kedatangannya adalah
untuk memancing undi
orang-orang asli diperkampungan itu
terkejut dengan permintaan yang tak terduga
"tak boleh, tak boleh,
saya tak dapat luluskan permintaan kamu itu,"
beritahu yang berhormat sambil matanya melilau.
"kenapa pula?" asak tok batin
"kami sudah diberi jalan bertar
takkanlah awak tak boleh beri kami jip"
"saya boleh beri kamu jip tetapi, kamu tak ada lesen,"
jawab yang berhormat.
tok batin dan anak-anak buahnya ketawa terbahak-bahak.
yang berhormat bertambah-tambah hairan.
"kalau awak boleh beri kami jip
yang besarnya sebesar-besar bapak gajah itu
takkanlah awak tak boleh beri
rekomen kami sekeping lesen yang besarnya,
alahai, boleh diselit dalam kotak tembakau kami,"
seru tok batin.
Yang berhormat itu hairan
dan paniknya tak sudah hasilnya:
apabila keputusan pilihanraya diumumkan
Yang berhormat itu kalah
kerana orang-orang asli
yang dipancingnya tak keluar mengundi.

Nukilan: PYAN HABIB

0 Comments:

Post a Comment

<< Home