dari lidah si Hadi

Tuesday, May 30, 2006

mengapa mesin setiaku?


Aduh.. komputer kesayanganku mula membuat hal lagi.. kali ini lebih sengsara dan pedih. 'power supply'nya sudah rosak. Sudah tidak boleh dihidupkan atau diselamatkan langsung. Arghh.. duit lagi..!

Selalunya komputer inilah menjadi teman akrabku. Dengannya lah aku berhibur, membuat kerja, merangka kata, mengulas idea, mencari realiti, membaca, mendengar muzik, mengukir grafik, menonton filem, bermain, magik, sakti, kagum..

Dengan komputer usang ini jugalah aku berkongsi rahsia, pelbagai rahsia, berkongsi khazanah, berkongsi cerita dan juga berkongsi jiwa. Walaupun aku mengerti bahawa komputer ini hanyalah satu objek dungu yang tiada nyawa apatah lagi jiwa.

Tapi sekarang kau dah mati, seperti bosan atau enggan bersahabat denganku lagi. Aku akur.. tiada benda yang kekal, aku sangkakan kau adalah satu mesin yang gagah dan kebal suatu masa dahulu.. dan sekali lagi.. tiada yang kekal.. hanya 'power supply' baru yang boleh menghidupkan kau kembali.. itu pun untuk waktu yang sementara sahaja.. tunggulah.. wahai mesin yang setia.

Monday, May 29, 2006

Sajak - Pancing Undi



Dengan diringi sekalian para juak-juak,
Yang berhormat itu memasuki sebuah
perkampungan orang-orang asli.
Mereka menaiki jip pajero.
Segala kemudahan telah kamu perolehi,
air paip, api elektrik dan jalan bertar sudah diberi
"apa lagi yang kamu mahu?"
tanya yang berhormat yang tengah syok berkempen.
"kami mahu jip!" jawab tok batin
"kami mahu jip pajero, macam encik punya,"
sahut anak-anak buah tok batin. Beramai-ramai.
"kamu mahu jip? untuk apa?" tanya yang berhormat.
Panik dan hairan
"supaya kami senang membawa
barang-barang kami keluar dari hutan.
Kami pun senang untuk keluar mengundi nanti."
Jawab anak-anak buah tok batin beramai-ramai.
adapun yang berhormat itu,
yang kedatangannya adalah
untuk memancing undi
orang-orang asli diperkampungan itu
terkejut dengan permintaan yang tak terduga
"tak boleh, tak boleh,
saya tak dapat luluskan permintaan kamu itu,"
beritahu yang berhormat sambil matanya melilau.
"kenapa pula?" asak tok batin
"kami sudah diberi jalan bertar
takkanlah awak tak boleh beri kami jip"
"saya boleh beri kamu jip tetapi, kamu tak ada lesen,"
jawab yang berhormat.
tok batin dan anak-anak buahnya ketawa terbahak-bahak.
yang berhormat bertambah-tambah hairan.
"kalau awak boleh beri kami jip
yang besarnya sebesar-besar bapak gajah itu
takkanlah awak tak boleh beri
rekomen kami sekeping lesen yang besarnya,
alahai, boleh diselit dalam kotak tembakau kami,"
seru tok batin.
Yang berhormat itu hairan
dan paniknya tak sudah hasilnya:
apabila keputusan pilihanraya diumumkan
Yang berhormat itu kalah
kerana orang-orang asli
yang dipancingnya tak keluar mengundi.

Nukilan: PYAN HABIB

warna - warna


"Intan.. Masuk dalam cepat, nyamuk nanti!"..

Aku memanggil sepupuku masuk kerana tirai mega mula melabuhkan dirinya. ketika aku sedang menggaru-garu kepalaku, tangan menepuk lengan kerana digigit nyamuk, tiba-tiba tanpa aku sedari aku terpandang langit senja dari depan pintu rumahku.

Aku ternampak pelangi.. ya.. pelangi.. mungkin muncul kerana hujan renyai petang tadi. Sudah agak lama aku tidak melihat pelangi. Sehinggakan aku sudah lupa akan warna dan susun aturnya. Aku ingin merakam keindahan ciptaan Tuhan itu tetapi kameraku sudah kehabisan baterinya. Tanpa membuang waktu aku terus duduk di kerusi di halaman rumah, dan mula memandang langit mengecapi dan menyalin warna-warna pelangi yang terpampang di dada langit itu supaya terus lekat dalam akalku. Dapat ku lihat sekawan burung pipit cuba terbang menembusi pelangi.. aku tersenyum melihat kawanan burung itu. Begitu bebas, begitu berani, begitu riang. Ini membuatkan aku berfikir sejenak betapa lama aku menyibukkan diri dengan tidur, menonton peti televisyen, bermain komputer dan pelbagai aktiviti dalaman yang seperti lupa akan kewujudan alam yang sebenar. Alam yang indah entahkan sampai bila akan kekal..

Aku terus duduk.. termenung.. memandang pelangi sehingga warna-warna pelangi itu kian pudar dan lenyap sama sekali. Akhirnya setelah selesai hilang, aku melangkah masuk ke rumah apabila azan maghrib mula berkumandang.. menyeru.. ya..

gambar~Akila, Hana, Intan, hadapan rumah Hadi 2006

Friday, May 19, 2006

rintihan rentak kelana


Aduh.. alangkah bagusnya jiaka aku mempunyai satu tiket ajaib yang infiniti..

Aku memang mencintai dan menggemari aktiviti berkelana, mengembara, merayau, menjelajah, merantau dan segala frasa yang berkaitan. Merantau memang menggembirakan, membebaskan dan menenangkan jiwaku. Hatiku yang gusar, mendung dan berkerak akan secara automatik menjadi lebih merdu, mekar dan harum. Hampir seluruh negeri-negeri dalam Malaysia ini telah aku jejak dan tidur kecuali Sabah dan Sarawak. Selalunya jika aku ada cuti walaupun hanya 5 hari.. perjalananku akan bermula, Tapi sayang.. hobiku ini selalunya tersekat akibat kekurangan wang dan masa. Sahabat-sahabatku juga ada yang berkongsi hobi ini bersamaku. Antara ahli tetap pasukan kelana bebasku adalah Amir dan Fadhil. Kini sudah ada ahli baru iaitu Uzair dan Faidhan.. Fadhil mungkin sudah "terikat" sayapnya sekarang..

Oh..

Perjalanan yang jauh.. muka dan rambut yang dilanda angin kencang.. mata yang berair kerana terlalu lama terbuka melihat pemandangan.. getaran kerusi bas dan keretapi.. bas.. keretapi.. feri.. van usang.. anak-anak gadis yang tertawa.. haiwan.. manusia.. tumbuhan.. berkenalan dengan perantau lain.. tertidur dalam feri.. berbual kosong.. buang air di perhentian.. bau masin air laut.. bau rumput air terjun.. tiket.. hang mai mana??.. singo beng so??.. ate, kome ni dari kelumpo??.. geduk-gedak.. pon..pon..pon..

Oh..

Dalam banyak-banyak jenis kelana, aku paling menggemari menaiki keretapi. Ini adalah kerana bagiku naik keretapi ada jiwa nya yang tersendiri. Perjalanan yang agak panjang.. Geseran roda keretapi yang berbunyi seakan-akan petikan gitar kod 'C' irama punk.. Aku bebas berjalan, merayau.. berbual dengan penumpang lain.. duduk di tengah-tengah pintu.. bergayut di pintu.. nasi lemak panas.. perbualan yang panjang.. inspektor yang ramah.. perhentian yang misteri.. udara malam.. fuh.. jiwa beb.. jiwa..

Tunggulaah wahai dunia.. hadi dan rakan-rakan sekelananya akan menjelajah lagi.. mungkin hingga ke sebelah dunia yang lain.. cuma masa dan wang menjadi faktor.. tunggu ya..

gambar~
1)Hadi & Amir, Perak
2)Faidhan & Hadi, P.Pinang
3)Hadi & Fadhil, P.Pinang

Wednesday, May 17, 2006

Haruman buat Rohani


Agak lama juga aku lupa dan khayal dalam kegelapan. Agak lama aku alpa tentang Allah.

Aku dilahirkan dalam keluarga yang amat menitikberatkan soal iman, aqidah, ibadah. Aku dididik sejak awal lagi.. aku mula dihantar mengaji bersama-sama sepupu-sepupuku mengaji di rumah Ustaz Ibrahim ketika aku berumur 4 tahun. Ketika itu juga aku mula didik solat. Solat sudah menjadi seperti salah satu hobiku. Aku tamat muqaddam dan mula belajar membaca Al-Quran ketika aku darjah 3. Aku tidak bersekolah Ugama seperti rakan-rakan sekampung yang lain, aku hanya belajar mengaji dan fardhu 'ain di masjid. Aku pernah mendapat tempat ketiga dalam pertandingan bacaan Al-Quran di sekolah ketika aku darjah 6. Ketika tempoh itu juga, aku adalah antara anak kecil yang gemar dan mencintai masjid. setiap majlis pasti aku ada.

Apabila aku masuk ke alam sekolah menengah.. segala-galanya hanya tinggal kenangan. Aku mula alpa tentang Allah. Aku leka, aku khayal, aku lalai.. bukan aku tidak percayakan kewujudan yang maha Esa, tapi aku menjadi malas.. mungkin kerana kebebasan yang aku kecapi dan mungkin juga kerana aku tidak tinggal bersama keluarga.

Semakin lama semakin lalai, tetap lalai, tidak kira ketika senang mahupun susah. Aku malas hendak menegakkan tiang agama ku. Sehingga pada satu tahap aku menjadi keliru atas apa tujuanku ujud di dunia ini. Apa ikrarku.. Apa fungsiku..

Akhirnya aku mula sedar, betapa gelapnya jiwa dan diriku tanpa cahaya keimanan. Betapa kosongnya diriku tanpa Tuhan..

Pelbagai ujian juga melanda hidupku..
semuanya mampu mengalirkan airmataku
Pemergian orang yang disayang...
Pemergian sahabat-sahabatku..
Hilang harta.. Hilang ego..
dibuang.. gagal.. hanyut..
hampir maut..
dikhianati.. ditipu.. diperguna.. dihina..

Alhamdulillah.. Aku tidak hanyut jauh.. dan aku masih diberikan kesempatan hidup..
Mungkin berkat do'a ibubapa, keluarga dan sahabat-sahabatku.
Aku mula mengerjakan apa yang wajib.
Terutamanya solat. Aku harap segala dosaku dapat diampunNya.
Aku mula insaf.. ikhlas..Aku redha atas segala ujian yang diberi.
Dan keikhlasan adalah kunci utama.
Alhamdulillah..Alhamdulillah..Alhamdulillah..

Ramadhan yang lalu benar-benar membuka hatiku..

gambar~masjid jami'ul sharrif, kg simpang 3 gombak (tempat Hadi membesar)

album 1 kenang-kenangan Langkawi 2000

Sedang aku sibuk mengemas bilikku, sambil hidung merembeskan air hingus dengan begitu kencang kerana aku alergik terhadap habuk. Setelah bersin hampir puluhan kali, Aku terjumpa gambar-gambar lama yang mengimbau kenangan ku di Langkawi. Hampir separuh dari album itu telah hilang.. namun mana yang sempat aku selamatkan.. aku simpan dan scan masuk ke dalam komputer.

Gambar-gambar ini ditangkap kerana ingin menghabiskan filem kawanku Faizal kerana dia ingin mencuci gambar itu esok hari. Kebanyakan gambar ini ditangkap pada jam 8.00 malam, ketika aku baru bangun dari rutin tidur petangku. Gambar ini ditangkap di dalam bilik asramaku yang dijadikan pengkalan lepak oleh kawan-kawanku. Kami secara haram telah memecah 2 bilik menjadi satu. Satu bilik menjadi markas lepak, mendengar muzik, beraktiviti, berbual, memasak mee segera, minum dan pelbagai kerja lagi. Dan satu bilik lagi menjadi markas tidur semata-mata.

Jadi di sini aku memuat naik gambar itu agar ia kekal abadi.. Inilah antara rupa Hadi yang dahulu.. ketika baru sebulan mencecah alam 18 tahun.


Dari kiri, ikut arah jam: Helmy(Mat Nyum), Pa'e, Hadi, Hakim(penyu), Fendi(king)


Masih orang yang sama cuma tambahan naser(che')berbaju putih, dan Faizal, berbaju kotak-kotak




Berdiri~ Hatta,Faizal & Boy Bengkok
Duduk- Penyu cuba mencarut ala2 slipknot


Dari kiri~ Sebastian, Penyu, Boy,Wak,(tak ingat nama),King
Menunjukkan lipas yang lunyai akibat diseksa oleh Hatta dan Faizal yang menggeruni lipas


Dari kiri~Wan Serai,Pa'e,Faizal,Mat Nyum
Bergambar di tengah2 pecahan bilik


Che' mengankat Penyu seperti tiada apa-apa


Hafiz Setan cuba menyorok dan Faizal yang terkejut
mereka kantui cuba memasak mi segera pada jam 3 pagi tanpa mengajak Hadi


Hadi yang diganggu ketika sedang lena tidur jam 3.30pagi
(oh.. rambut.. dimana kau menghilang??)


Penyu yang diseksa rapi akibat berlagak kerana menang dalam permainan kad


Seksaan diteruskan dengan "Wall of Jericho"


Faizal & Hatta setelah puas menyeksa Penyu

Aduh.. di mana agaknya mereka semua sekarang? adakah masih hidup? adakah masih bujang? adakah masih jahat? adakah masih bebas? aku memang telah terputus hubungan secara total dengan mereka.. harap dapat dipertemukan kembali...
Banyak lagi gambar sebenarnya.. tetapi ada yang hilang, ada yang koyak, ada yang terlalu keterlaluan sehingga tidak lepas penapisan filem.. hahahahahha..!!




sms




Tarikh: 13 Mei, 2006
Masa: 8.56 malam
Cuaca: agak dingin


Ketika aku sedang termenung di ruang tamu rumahku sambil memerhatikan gelagat anak-anak sepupuku, tiba-tiba aku dikejutkan oleh nada dering sms telefon bimbitku. Satu sms telah aku terima dari salah seorang sahabat lama ku. Selalunya aku akan sekadar membaca sekali sahaja sms yang aku terima, dan jika ia agak bernas.. aku akan kehadapankannya kepada rakan-rakan yang lain.. Tapi mesej kali ini membuat aku membacanya berkali-kali dan aku simpan sms itu sebagai kata-kata nasihat. Jadi inginlah aku berkongsi kata-kata itu..

"Tak perlu mencari teman secantik Balqis, andai diri tak sehebat Sulaiman. Mengapa mengharap teman setampan Yusuf jika kasih tak setulus Zulaika. Tak perlu mencari teman seteguh Ibrahim andai diri tak sekuat Hajar. Jangan mengharap teman semulia Fatimah andai diri tak sehebat Ali. Mengapa didamba teman hidup sesempurna Muhammad jika ada keburukan pada dirimu, bimbinglah dirinya dan terimalah kekurangan itu sebagai keunikan dan carilah kebaikan pada dirinya, bersyukurlah dipertemukan..."

sungguh mendalam ya..

gambar - Hadi cuba bereksperimen bersama telefon berkameranya

Monday, May 15, 2006

Sajak



Aku memang meminati puisi.. kerana aku manganggap puisi adalah satu keindahan yang datang jujur dari hati si penulis. Ketika aku sedang mengodek-godek PC ku semalam, aku terjumpa koleksi sajak-sajak yang aku kumpul ketika aku mula meiminati sajak dahulu. Jadi, aku ingin berkongsi sajak-sajak ini bersama rakan-rakan semua.. ini cuma sebahagian awal.. sila ya!
_________________________________

...Balada...


sebetulnya
aku juga seperti kalian
seorang pendosa
yang berkekalan
cuma kadang jadi busan
melihatkan sebahagian teman
bangga dengan dosa-dosa
hidup seolah tanpa tuhan.
.....


Hasil Nukilan: osmanTikus
17 Disember, 1999
...................................


Doa

tuan punya siang
tuang punya malam
tuan punya kasih
tuan punya sayang

tuan yang menurunkan hujan
tuan yang melukis pelangi

tuan punya gelap
tuan punya terang
tuan yang membina gunung
tuan yang melarik awan

kasihan...

..................................


Enggan Bebas

aku enggan bebas
kebebasan membelengu daku
aku inginkan aturan
buat ikutan diri
aku mahukan "seorang Tuan"
buat keamanan hati
bukan kebebasan yang aku cari
tapi aku mahu menyerah
kepada Tuhan empunya diri..

kumala das...selamat kembali..


Hasil Nukilan: osmanTikus
19 Disember, 1999 jam 13:44:33

...................................


Mana Tamannya...

bina lah pencakar langit
bungkar lah pasak bumi
tanduskan segala tanah tanih
biar kami belanja diluar negeri
semua aku tidak peduli..
lupakan segala adab
tinggalkan semangat akrab
lantik siapa sahaja jadi menteri
aku tidak peduli....
cuma..
mana tamannya?


Hasil Nukilan: osmanTikus
28 Disember, 1999 jam 11:56:37

gambar~bunga di hadapan rumah jiranku



Hari Guru



Apabila aku terlihat iklan-iklan dramatik di televisyen.. menceritakan jasa-jasa dan pengorbanan guru, menceritakan detik-detik sukar mereka, selalunya jiwa aku akan menjadi keliru.. khianat.. curiga.. dan macam-macam lagi sangkaan yang negatif.

Mengapa ya? mungkin disebabkan sejarah silam dan pengalamanku ketika bersekolah membentuk jiwaku yang membenci guru-guru yang pernah berkorban mendidikku.. Maafkan aku jika aku bersikap agak kurang ajar.

Aku masih ingat punca utamanya.. walaupun agak samar-samar.. Seorang guru kelasku ketika darjah tiga.. Pn.H****. Tak perlu lah aku menulis namanya disini. Dia juga adalah guru matematik kelasku. Apabila aku membuat kerja rumah, siap dan betul semuanya.. tetapi Pn.H menuduhku meniru.. Aku didenda bersama2 beberapa rakan kelasku yang lain yang benar2 meniru. Hari yang lainnya.. aku selesai lagi kerja rumah.. dia menuduh aku baru buat pagi tadi. Dia juga mengadu kepada ibubapaku bahawa aku selalu termenung "melihat bulan" di dalam kelas. Walaupun ketika itu aku masih kanak-kanak, aku mahu memberontak. Sejak itu .. aku tidak pernah membuat kerja rumahku.. Setiap hari apabila dia memeriksa buku.. aku sudah bersedia. Aku akan ditampar dengan buku teks matematik kuning itu.. semakin hari semakin bertambah dendaku. Berdiri di hadapan, di luar kelas.. muka diconteng dengan kapur.. dicubit di perut.. dibawa jumpa cikgu disiplin.. berlari keliling bangunan sebanyak 20x, sehingga dia sendiri tak tahu hendak mendendaku bagaimana lagi. Alhamdulillah.. pada perperiksaan akhir, aku mendapat A dalam semua subjek.. Dan aku tetap menduduki kelas pertama untuk darjah 4. Perangaiku berterusan sehingga aku tamat tingkatan 5. Aku takkan buat kerja rumah. Aku rela didenda dan dipukul. Pada darjah 5, aku diwajibkan menghadiri kelas kaunseling. Aku juga pernah dituduh menghasut kawan melepak dan menonton cerita lucah.Aku pun tidak tahu cerita lucah itu apa pada waktu itu.Aku pernah dituduh bersubahat mencuri duit kelas.. walaupun tiada bukti.Dan setiap tahun aku membenci guru.. Pada tingkatan 2, aku dan beberapa rakanku yang jujur dimaki dan dilempang oleh seorang ustaz yang berlagak sehingga berdarah mataku.. dia menuduh kami melindungi nama rakan-rakan kami yang ponteng.. mana kami tahu?? kalau diorang nak ponteng.. apasal pula kami harus tanya mana mereka pergi dan hari apa mereka mahu ponteng? Pada hemat fikiranku, semua guru menganggap semua budak adalah sama jahatnya. Banyak lagi pengalaman hitam yang malas hendak aku tulis kembali.

Adakah aku membenci semua guru??? tidak.. masih ada guru yang aku hormat dan kagum.. antaranya..

-En.Karim - guru darjah 6 Kenanga, guru disiplin, B.Melayu & Matematik(Cikgu ini tidak pernah berat sebelah, tidak kisah aku siapkan kerja rumah atau tidak, percaya kepadaku, malah memberi aku jawatan pengawas, mengambil berat atas keputusan akademikku, aku menghadiahkannya dengan 4A untuk upsr)
-Cikgu Kemahiran Hidup ting 3, -Cikgu Fizik tingkatan 4&5, -Cikgu B.Inggeris ting 4&5 (cikgu ni selalu bawak aku jalan2)
-dan ada segelintir lagi yang aku kagum

Sekian sahaja buat masa ini.. maafkan aku cikgu.. Selamat Hari Guru!!

gambar~Hawa bersama Guru dan rakan-rakan sekelas

Rindu Hadi


Adakalanya aku rindukan Hadi yang dahulu.. degil.. bebas.. rambut panjang.. selekeh.. jahat.. tak dengar kata.. manjadi bahan bual guru-guru di bilik guru.. kurang ajar.. melawan kata.. tiada handphone.. tidak kenal erti takut.. tidak kenal erti kecewa.. tidak kenal erti jiwa.. liar.. seluar koyak rabak.. baju koyak di perut..kaki rayau.. rajin meneroka.. bla..bla..bla..
entahlah..

Ada antara anda terjumpa Hadi yang dulu?? Kirim salam ye..



Tapi mungkin segala perubahan ini ada hikmahnya.. yang masih belum aku mengerti..

gambar~1) meja Hadi yang dahulu 2)katil Hadi yang dahulu

Selamat Hari Ibu..


Pada malam itu, seperti malam-malam sabtu sebelumnya, sesudah makan malam, aku akan bersandar atas kerusi, melangok di hadapan kaca tevisyen. Pada waktu itu,, aku memang tiada pilihan lain kerana emak, adik dan kakak sepupuku sudah menempah waktu itu khas untuk menonton siri kegemaran mereka iaitu 'Macam-macam Aznil'. Aku pun akur sahaja.. sedang aku khayal menonton iklan, tiba-tiba aku terdengar adikku Adibah berkata kepada emakku "Mak, Selamat hari Ibu". Aku jadi tergamam seketika.. sambil tersengeh..

Sudah hampir 24 tahun umurku.. namun aku tidak pernah mengucapkan selamat itu kepada emakku. Aku juga tidak pernah ambil tahu bila, dan apakah hari ibu. Aku jadi malu sendiri. Aku terfikir kembali.. mesti sukar menjagaku dari kecil.. sehingga aku sendiri lebih besar dari emakku.. dengan karenahku.. uih.. mesti banyak air mata ibuku yang telah hanyut..

Sehingga kini, aku masih belum pernah mengucapkannya sendiri.. dengan mulutku sendiri.. kini aku mengucapkannya di layar maya ini. "Selamat Hari Ibu..!!" Semoga Emak akan membacanya satu hari nanti.....

gambar~Hadi, Hawa dan Emak , 1 Syawal 2005
(dulu aku dalam perutmu, sekarang perutku lebih besar darimu.....)

Friday, May 12, 2006

Bukan.. Bukan..

adakalanya orang akan bertanya..

"kau ni budak apa?? budak punk ke? underground ke? hardcore ke? hip-hop ke?"
"kau ni orang apa?? UMNO ke? PAS ke? DAP ke?"
"ko ni Melayu ke hapa??"
"kau tak pergi konsert peterpan??"
"kenapa kau tak suka the used??"
"iee.. apasal ko dengar dangdut??"

ya.. soalan yang memang aku tak tahu apa motifnya.
Adakah kita perlu melabel seseorang supaya seseorang itu sama label dengan kita?
Adakah kita perlu label untuk bergaul dan bersosial?
Perlukah ada sebab untuk aku membuat sesuatu yang tidak mengganggu orang?
Aku tak sangka soalan seperti ini masih wujud di alaf baru..
dan jawapanku..

"Aku bukan komunis, bukan nasionalis, bukan anarkis, bukan sosialis, bukan kapitalis, bukan athies, bukan fasis, bukan rasis, bukan seksis, bukan hippies, bukan viviseksionis, bukan idealis, bukan feminis, bukan teroris, bukan agnostis, bukan separatis, bukan nihilis.. bukan.. bukan..
Aku hanya insan mentah.. yang masih meneroka.."

gambar~ port dickson tahun 1984 (ketika berumur 1 thn+-)

Kata-kata pembasah lidah...


Assalamualaikum.. seperti biasa, sebelum membuka kata adalah lebih enak jika aku memberi salam dahulu. Sudah agak lama aku tidak menghasilkan butir-butir penulisan. Apatah lagi untuk memaparkannya di dada-dada monitor online seperti ini. bukan kerana terputus idea atau kata-kata.. tetapi seperti manusia kota lain, aku sibuk dengan kelas-kelas dan kerja-kerja yang cukup melalaikan. Juga sebab utamanya adalah kerana rumah baruku tiada talian telefon lantas mengakibatkan terputus jua lah perhubungan komputer gagah kesayanganku bersama talian internetnya. Selama ini, jika aku mempunyai kata-kata terbuku atau idea yang perlu diluahkan.. aku hanya akan menaipnya di dalam telefon bimbitku. Akan tetapi akibat dari ruang yang terhad seperti iri hati dengan buah mulutku, maka penuhlah kapasiti telefonku itu. Akhirnya atas nasihat sahabat-sahabat dan juga kerana kerja malamku ini.. maka lahirlah sebuah blog sulung dari lidah si Hadi

Selama ini, jika aku ingin menulis di ruang maya seperti ini, aku lebih gemar untuk menulis dalam bahasa inggeris. Pada pendapatku, jika aku menulis dalam bahasa inggeris, maka hasil penulisanku dapatlah dibaca oleh insan-insan lain yang tidak faham bahasa melayu. Tetapi, kali ini aku memutuskan untuk menulis dalam bahasa Melayu.

Bukan atas dasar semangat bangsa, bukan atas dasar bahasa ibunda, bukan atas dasar perkauman, bukan atas dasar nasionalisma.... bukan.. aku menulis dalam bahasa Melayu adalah kerana aku merasakan bahasa melayu adalah manis, indah, berjiwa unik dan penuh dengan seni. Ini juga adalah kerana aku merasakan rakan-rakan yang sanggup membaca coretan aku ini faham benar dengan bahasa yang aku guna ini. Aku menulis pun istimewa khas untuk diriku sendiri dan sesiapa yang sudi membaca. Semuanya atas nama jiwa dan seni

Sebagai penamat kepada kata-kata pembasah lidah ini.. dengan penuh hormat aku berterima kasih kepada mereka yang sudi membaca. Izinkan aku mengundur diri dahulu. Maafkan aku jika ada terkurang adatnya. Wassalam..

-gambar~ antara gambar pertama ditangkap ketika membeli kamera 2 tahun yang lalu
(kawasan Jalan Kunci Air)